top of page
Search

SIAPAKAH SEBENARNYA YANG ZALIM?



Harus diingat bahawa kata zalim itu diangkat dari bahasa Arab melalui perbendaharaan kata (lafad) yang disebutkan oleh Allah dalam Al-Quran (ظالم). Maka kita harus menelusuri makna asal perkataan itu dari Al-Quran supaya kita mendapat petunjuk yang benar daripada penggunaan kata tersebut.


Kata ‘zalim’ menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah tidak berperikemanusiaan, tidak adil, bengis, kejam.


Dari Al-Quran, kita tidak akan menemukan maksud yang pasti daripada kata tersebut seperti yang terdapat dalam kamus melainkan dalam bentuk petunjuk tentang siapakah atau apakah sikap dan perilaku yang disebut oleh Allah sebagai zalim. Sebagai contohnya seperti berikut:


1. Menghukum atau menyatakan sesuatu tentang sesuatu perkara (menilai) tanpa berdasarkan kenyataan fakta yang dikemukakan oleh Allah (apa yang sebenarnya ada dan terjadi).


Mengenai hal ini, firman Allah adalah seperti berikut :


وَمَنْ لَمْ يَحْكُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ


“... Dan barang siapa (siapa saja) yang tidak memutuskan sesuatu (menghukum/menilai) berdasarkan apa yang Allah turunkan (hadirkan/kemukakan), maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.” [Al-Maidah (5) : 45]


Ramai orang yang menilai sesuatu berdasarkan sentimen emosi atau kepentingan tertentu dengan mengabaikan (pura-pura tidak tahu) tentang realiti sesuatu fakta yang ada.


2. Lebih mengikuti keinginan subjektif pihak-pihak tertentu dengan mengabaikan hasil analisa keilmuan yang berkaitan dengan suatu kes/fenomena.


Hal ini terkandung pada Kalamullah berikut:


وَلَٮِٕنِ ٱتَّبَعۡتَ أَهۡوَآءَهُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَكَ مِنَ ٱلۡعِلۡمِ‌ۙ إِنَّكَ إِذً۬ا لَّمِنَ ٱلظَّـٰلِمِينَ


“...Dan sungguh jika kamu mengikuti kemahuan mereka setelah datangnya ilmu kepadamu, sesungguhnya kamu (kalau begitu) termasuk orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah (2) : 145]


Sebagai contoh, sebuah loji kumbahan dibangunkan di atas tanah kampung berupa benteng yang telah membuatkan sungai menjadi sempit dan menyebabkan banjir, pencemaran alam sekitar, penyakit dan sebagainya. Maka secara logiknya perlu dilakukan proses menormalkan semula aliran sungai dan memindahkan perkampungan tersebut.


Tetapi kemudiannya ada pihak tertentu yang menentang proses itu hanya kerana alasan-alasan atau sentimen subjektif tertentu ("ahwaahum"). Sekiranya keinginan tersebut dipenuhi dengan mengabaikan hasil analisis fakta (keilmuan) yang objektif, itu adalah keputusan/tindakan yang zalim.


3. Kezaliman yang paling besar ialah manusia yang mengada-adakan kebohongan atas Allah, yakni menyatakan sesuatu yang didakwa datangnya dari Allah (Islam) padahal itu hanyalah pemikiran/keinginan subjektifnya dan/atau memalsukan/memanipulasi ayat-ayat-Nya, sama ada dalam bentuk fakta kauniyah atau terlebih lagi ayat-ayat Al-Quran.


وَمَنۡ أَظۡلَمُ مِمَّنِ ٱفۡتَرَىٰ عَلَى ٱللَّهِ كَذِبًا أَوۡ كَذَّبَ بِـَٔايَـٰتِهِۦۤ‌ۗ إِنَّهُ ۥ لَا يُفۡلِحُ ٱلظَّـٰلِمُونَ


“Dan siapakah yang lebih zalim (kezaliman terbesar) daripada orang yang mengada-ada suatu kebohongan atas Allah, atau memalsukan ayat-ayat-Nya? Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berhasil.” [Al-An'am (6) : 21]


Ramai orang menjadikan Kalamullah sebagai peluru untuk menyerang pihak lawan atau menjadikannya sebagai sebuah komoditi politik untuk mendapatkan sokongan.


Al-Quran yang suci dan mulia itu tidak mungkin boleh digunakan untuk perkara-perkara kotor yang negatif dan bertentangan dengan logik akal sihat dan nilai-nilai kemanusiaan yang universal (fitrah manusia) kecuali dengan memutarkan (‘tahrif’) atau memanipulasi (‘takdzib’). Dan ini ialah kezaliman yang paling besar.


Di penghujung ayat di atas (Al-An'am ayat 21), Allah menegaskan bahawa orang-orang yang zalim itu TIDAK AKAN BERHASIL (BERJAYA).


Jadi disarankan kepada mana-mana pihak yang sedang berjuang untuk mencapai sesuatu walau apa pun jua, jangan sekali-kali melakukan kezaliman dalam apa jua bentuk seperti yang disebutkan di atas.


Dan jangan bimbang jika pesaing lain melakukan kezaliman, bersabarlah untuk tidak membalasnya. Jangan bertindak seperti mereka kerana dengan tegas Allah telah memberikan jaminan bahawa mereka tidak akan berjaya.

1 view0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page