top of page
Search

BENCANA MANUSIA vs BENCANA ALAM



Alam diciptakan oleh Sang Pencipta berpegang pada satu prinsip iaitu Prinsip Keseimbangan. Dengan prinsip ini alam senantiasa berjalan dengan teratur tanpa menyebabkan kerosakan ataupun masalah.


Tidak ada satu pun makhluk di alam semesta ini yang wujud untuk merosakkan makhluk lain. Bumi, matahari, air, udara, binatang, tumbuh-tumbuhan, semuanya taat pada prinsip keseimbangan yang dibuat oleh Sang Pencipta kerana dengan ketaatan itulah mereka dapat menjadi elemen yang teratur dalam makro sistem ini.


Air juga mematuhi prinsip keseimbangan. Ia akan menyeimbangkan dirinya dengan mencari titik terendah di bumi. Air tidak pernah melawan prinsip ini, misalnya mencuba untuk naik ke permukaan gunung.


Itu tidak mungkin terjadi kerana air ialah makhluk yang taat kepada prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Sang Pencipta. Setiap makhluk di alam memiliki karakter atau sifat yang merujuk kepada karakter-Nya.


Banjir yang terjadi bukanlah tindakan yang dalam konotasi negatif berasal daripada alam tetapi ini merupakan sifat atau karakter air yang telah diturunkan melalui hujan. Ia mencari titik seimbang menuju tempat terendah di permukaan bumi dengan membentuk sungai sebagai salah satu salurannya.


Ketika air yang melimpah itu tidak diberikan haknya, maka ia akan tetap mengalir dan menghancurkan apa saja yang menghalanginya.


Tetapi kerana manusia tidak dapat membaca karakter ini contohnya dengan penebangan hutan, pembinaan bangunan di tebing sungai atau tasik, ramalan hujan yang minimum dan kelalaian dalam menanganinya, maka ketika air melimpah ia akan menerjah apa saja yang menghalanginya.


Tidak kira sama ada orang kaya atau miskin, pemerintah atau rakyat, pasti air akan menerpa mereka.


Jadi, bukan salah alam jika ribuan manusia terpaksa berpindah akibat air dari sungai atau tasik melimpah tetapi itu ialah akibat daripada sikap manusia yang aktivitinya tidak selaras dengan keseimbangan yang ingin dicapai oleh alam dengan mengabaikan karakter air.


Sedangkan manusia seharusnya dapat membaca karakter alam dan meramalkan pergerakan alam kerana bukan alam yang harus menyesuaikan diri terhadap keberadaan manusia tetapi manusialah yang harus menangkap frekuensi alam.


Saya tidak setuju jika fenomena alam yang menggerunkan manusia disebut sebagai bencana alam kerana bencana lebih bersifat kejadian yang merugikan.


Alam tidak pernah merugikan manusia tetapi manusialah yang berusaha untuk merugikan alam dengan mengambil haknya. Usaha itu justeru akan menghentam manusia sendiri. Maka lebih tepat jika disebut sebagai bencana manusia.


Kemampuan untuk membaca alam harus dimiliki oleh manusia sehingga manusia dapat menjalankan prinsip-prinsip asas sebagaimana yang ditaati oleh alam.


Lihat, bagaimana sekumpulan gajah dapat mengetahui fenomena tsunami sebelum ia terjadi dengan melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi. Begitu juga kelawar, tikus, anjing dan haiwan yang lain.


Itu disebabkan oleh sikap dan perilaku mereka dalam mematuhi sistem yang diciptakan oleh Sang Pencipta iaitu karakter-Nya yang mewarnai karakter alam.


Apabila kita melihat air mencari titik terendah, itu bererti karakter Sang Pencipta sedang bekerja pada air. Kerana mereka taat, maka naluri mereka dapat menangkap isyarat alam yang akan berlaku.


Daripada karakter-karakter alam, sesungguhnya ada pelajaran yang mesti diambil oleh manusia sebagai makhluk ciptaan yang lengkap. Sang Pencipta sesungguhnya ingin mengajarkan sesuatu pada manusia dengan perantaraan alam.


Dan manusia ialah makhluk yang diciptakan berkemampuan untuk menerima pelajaran itu kerana diberikan kelebihan iaitu sarana berfikir untuk memahami dan mengambil sikap keteraturan pada alam bahawa penciptaan alam sebenarnya menyerupai dengan penciptaan manusia dan komunitinya.


Ertinya, struktur dalam komuniti manusia mesti disusun selaras dengan struktur dan keteraturan pada alam.


Rasuah, mencuri, perzinaan, pembunuhan dan penjajahan merupakan contoh perilaku yang tidak selaras dengan aturan alam. Dengan adanya rasuah, maka hak-hak yang sepatutnya diterima oleh rakyat jadi hilang akibat dicuri oleh beberapa orang atau golongan tertentu.


Ini akan menciptakan ketidakseimbangan pada pengaturan komuniti manusia. Seperti lirik dalam lagu Rhoma Irama: “Yang kaya makin kaya, yang miskin makin miskin”.


Begitu juga dengan mencuri, perzinaan, pembunuhan dan penjajahan, yang mana semuanya akan mengakibatkan penganiayaan oleh sebahagian kecil manusia lain. Padahal Sang Pencipta tidak pernah menganiaya makhluknya, bahkan kepada seekor cacing pun Dia tidak pernah menindasnya.


Wujudnya rumah-rumah di tebing sungai atau di tempat di mana air akan mengalir lebih disebabkan kerana mereka tidak ada pilihan lain untuk mencari tempat berlindung dengan modal yang dimiliki.


Kesukaran untuk mendapatkan peluang bekerja, pendidikan yang mahal, akses terhad untuk memiliki perumahan yang baik merupakan sesuatu yang sukar dicapai oleh mereka agar dapat hidup secara manusiawi yakni hidup sesuai dengan bahagian manusia sebagai makhluk.


Jika mereka diberi kesempatan, tentulah mereka tidak akan mendirikan bangunan di tebing sungai atau tasik yang mereka sendiri tahu bahawa pada musimnya akan terjadi banjir. Ini disebabkan lemahnya struktur dalam mengatur hak hidup bagi rakyat yang mewujudkan jurang yang lebih mendalam antara golongan bangsawan dan rakyat jelata.


Fenomena yang terjadi hari ini menunjukkan ketidakmampuan manusia dalam mengatur kehidupan berdasarkan prinsip keseimbangan yang ditaati oleh alam.


Hal ini disebabkan semakin suburnya egoisme yang dipupuk dalam komuniti manusia, ketidakpercayaan kepada prinsip-prinsip asas yang ditentukan oleh Sang Pencipta.


Manusia sudah merasa cukup, tidak memerlukan bantuan daripada aturan yang dibuat oleh Sang Pencipta. Bahkan manusia sudah merasa bahawa aturan yang dibuat oleh Sang Pencipta tidak lagi sesuai dengan zaman yang terus berubah.


Manusia lebih yakin dengan mengatur komunikasi dengan cara mereka sendiri, padahal Sang Pencipta telah berulang kali memberi peringatan baik dengan mendatangkan fenomena alam mahupun ketentuan-ketentuan yang terkandung dalam kitab suci agar manusia kembali kepada ‘software’ semula jadi yang diciptakan-Nya.


Sekiranya manusia mendapat akibat yang dikatakan menyusahkan daripada alam, itu bererti ada kelalaian pada pengaturan manusia, ada prinsip yang tidak ditaati oleh manusia iaitu pelanggaran prinsip yang selaras dengan prinsip alam.


Dan jika ini tidak disedari, maka manusia akan terus mendapat akibat buruk daripada keberadaan alam kerana manusia tidak dapat bersatu dengan gerak alam yang terus berproses.


Banjir, tsunami, tanah runtuh, gempa bumi, kebakaran hutan, makhluk perosak merupakan fenomena-fenomena yang pasti akan menyusahkan umat manusia jika manusia tidak menyelaraskan pergerakan hidup mereka dengan sistem makro di alam semesta.


Kekacauan akan menjadi sarapan sehari-hari. Saling merampas, saling menindas, memupuk ketamakan, hipokrit dan moral yang rendah merupakan buah yang akan dituai oleh manusia yang telah menyemainya atas alasan kepentingan peribadi mahupun golongan.


Dengan sifat alam yang sering meregang dan menunjukkan perkara-perkara yang tak dijangka, maka perkara yang sama juga akan berlaku dalam komuniti manusia kerana fenomena yang terjadi pada alam adalah mirip dengan fenomena yang terjadi pada manusia.


Sekiranya ini berlaku, maka manusia adalah makhluk yang paling merugi kerana tidak dapat mengambil pelajaran yang diajarkan oleh Sang Pencipta dengan perantaraan alam. Manusia merugi kerana tanpa kembali kepada cara Sang Pencipta, maka manusia akan menjadi duri dalam daging yang pasti akan dikeluarkan oleh tubuh ‘alam’ yang maha dahsyat ini.

3 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page