top of page
Search

PENTINGNYA MEMBACA AL-QURAN MENGGUNAKAN AKAL


Dalam kehidupan beragama, tentu kita sering mendengar pernyataan yang mengatakan bahawa ajaran yang berkaitan dengan keimanan kepada Tuhan hanya perlu diimani tanpa perlu dikritik atau dikaji dengan lebih mendalam mengenai kebenarannya sebagai bukti bagi keimanan manusia kepada sang pencipta-Nya.


Mereka menganggap bahawa ajaran Tuhan terpisah daripada sains atau ilmu pengetahuan, di mana mereka berkeyakinan bahawa ajaran Tuhan ialah ajaran yang mengandungi mukjizat di dalamnya.


Sehinggakan bagi seseorang yang memeluk agama yang menurut keyakinannya adalah yang paling benar, maka haruslah meyakini bahawa mukjizat tersebut ialah bukti keluarbiasaan Tuhan walaupun mukjizat tersebut bertentangan dengan ilmu pengetahuan.


Hal tersebut terjadi disebabkan setiap agama mendakwa bahawa agama mereka yang paling benar, sehingga tanpa disedari sifat fanatik yang membabi buta tersebut telah melumpuhkan akal fikiran yang sihat sebahagian besar umat beragama saat ini yang seharusnya dipergunakan untuk memahami kebenaran yang terdapat dalam Kitab Suci.


Padahal, akal fikiran yang sihat tersebut sesungguhnya merupakan anugerah yang diberikan Tuhan kepada makhluk yang paling sempurna di antara makhluk ciptaan-Nya yang lain.


Persoalannya sekarang, adakah menurut kaca mata Kitab Suci, akal tidak perlu digunakan untuk mempelajari ajaran tentang kebenaran Tuhan?


Faktanya, Al-Quran sendiri pun secara jelas menerangkan bahawa penggunaan akal sihat sangat penting dalam memahami ajaran yang terkandung di dalamnya, seperti yang diterangkan dalam kedua-dua surah di bawah ini.


Pertama, dalam surah Ibrahim (14) ayat 52 diterangkan bahawa Al-Quran ialah penjelasan bagi manusia yang dapat diambil pelajaran bagi orang yang berakal atau yang mempergunakan akalnya.


Al-Quran surah Ibrahim (14) ayat 52. :

Dan (Al-Quran) ini ialah penjelasan (yang sempurna) bagi manusia, agar mereka diberi peringatan dengannya, agar mereka mengetahui bahawa Dia ialah Tuhan Yang Maha Esa dan agar orang yang berakal mengambil pelajaran.


Kedua, dalam surah Shad [38] ayat 29 diterangkan bahawa Al-Quran dipergunakan oleh orang-orang yang berakal sihat untuk dijadikan pelajaran.


Al-Quran surah Shad [38] ayat 29 :

Kitab (Al-Quran) yang Kami turunkan kepadamu penuh berkah agar mereka menghayati ayat-ayatnya dan agar orang-orang yang berakal sihat mendapat pelajaran.


Daripada keterangan kedua-dua surah di atas, dapat kita simpulkan bahawa Al-Quran hanya dapat dipelajari oleh orang-orang yang mempergunakan akal sihatnya untuk memahami kebenaran yang terkandung di dalamnya.


Selanjutnya, dalam kedua-dua ayat di bawah ini juga diterangkan bahawa, selain kitab-kitab sama ada Taurat, Injil mahupun Al-Quran, Tuhan juga menurunkan hikmah (ilmu kebijaksanaan) kepada utusan-Nya, di mana Dia memberikan kemampuan untuk memahami hikmah tersebut kepada mereka yang mempergunakan akalnya.


Al-Quran surah Al-Baqarah [2] ayat 151 :

Sebagaimana Kami telah mengutus kepadamu seorang Rasul (Muhammad) daripada (kalangan) kamu yang membacakan ayat-ayat Kami, menyucikan kamu, dan mengajarkan kepadamu Kitab dan Hikmah, serta mengajarkan apa yang belum kamu ketahui.


Al-Quran surah Al-Baqarah (2) ayat 269 :

Dia memberikan hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Barang siapa diberi hikmah, sesungguhnya dia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tidak ada yang dapat mengambil pelajaran kecuali orang-orang yang mempunyai akal sihat.


Sebenarnya dalam membicarakan tentang Al-Quran, bukan hanya membicarakan tentang petunjuk bagi umat Islam tapi berbicara tentang petunjuk bagi manusia. Bererti semua manusia, tidak mengira latar belakangnya berkewajiban untuk menjadikan Al-Quran sebagai pelajaran bagi mereka sebagai makhluk ciptaan Tuhan Semesta Alam.


Jika kita memahami makna kata Al-Quran secara etimologi, maka secara bahasa pula Al-Quran mengandungi pengertian sebagai satu-satunya bacaan. Dengan kata lain, hanya Al-Quranlah satu-satunya bacaan dalam hidup dan kehidupan manusia.


Berbicara tentang Al-Quran bukan bermaksud hanya berbicara tentang Kitab Suci yang diturunkan kepada Muhammad, tetapi juga berbicara tentang kitab suci yang lain yang diturunkan Tuhan kepada utusan-Nya yang lain.


Ini kerana Al-Quran itu sendiri mengandungi ajaran yang ada dalam Taurat dan Injil yang mana kedua-duanya mengajarkan tentang Din Al-Islam, yakni sistem hidup dan kehidupan dalam rangka tunduk patuhnya manusia kepada satu-satunya pengatur, satu-satunya penguasa dan satu-satunya yang ditaati oleh manusia.


Dalam hal ini, Al-Quran ialah Kitab yang membenarkan Kitab-kitab sebelumnya. Ini bukan bererti bahawa Kitab sebelumnya mengandungi sesuatu yang salah sehingga Al-Quran digunakan oleh Tuhan untuk memperbaharui kitab-kitab sebelumnya.


Jadi apa yang dimaksudkan dengan membenarkan?


Yang dimaksudkan membenarkan di sini ialah Al-Quran dijadikan oleh Tuhan sebagai pengenapan dari apa yang telah dinubuahkan(diramalkan) oleh kitab-kitab sebelumnya. Bahawa Tuhan mengutus kembali seorang Rasul setelah Rasul sebelumnya, sesuai dengan nubuat (ramalan) Rasul sebelumnya berdasarkan wahyu yang diturunkan kepada mereka.


Persoalannya bagi kita sekarang adalah apakah ayat-ayat di dalam Taurat dan Injil juga disebut sebagai satu-satunya bacaan hidup dan kehidupan bagi manusia sepertimana Al-Quran? Jawapannya ialah ayat-ayat dari kitab-kitab tersebut sebenarnya adalah sama.


Seperti yang kita ketahui bahawa, Taurat dan Injil yang kita kenal dengan sebutan Al-Kitab juga bererti satu-satunya kitab atau ketetapan dari Tuhan yang mempunyai fungsi yang sama dengan Al-Quran.


Sehinggakan dalam hal tersebut membuktikan kepada kita bahawa semua kitab tersebut mempunyai nilai yang sama, ajaran yang sama dan hukum-hukum yang diajarkan juga sama. Ianya sama-sama berasal dari Tuhan Semesta Alam, pencipta langit dan bumi yang mengajarkan bahawa satu-satunya bacaan hidup dan kehidupan berasal daripada firman-firman-Nya.


Yang membezakan isinya hanyalah sejarah yang diceritakan dalam kitab-kitab tersebut. Taurat menceritakan tentang sejarah Nabi Musa as, Injil menceritakan sejarah Nabi Yesus (Isa as) dan Al-Quran pula menceritakan sejarah Nabi Muhammad saw.


Oleh itu, perihal dalam setiap kitab suci tersebut sebenarnya bukanlah alasan bagi kita untuk tidak menyatukan pandangan kita, bahawa satu-satunya kebenaran itu berasal dari Tuhan tidak kira daripada agama mana kita berasal. Kerana ‘isi’ dari kitab tersebut adalah sama, maka mengapa kita masih tidak boleh bersatu dan tetap berpecah belah serta lebih meyakini kebenaran yang bukan berasal dari Tuhan?


Sama seperti teori tentang bumi ini bulat. Pada awalnya terdapat banyak pertentangan tentang teori tersebut namun akhirnya kebenaran akan menemukan jalannya sendiri.


Selanjutnya, bagaimanakah pandangan Al-Kitab mengenai fungsi akal sihat atau akal budi ini dalam memahami ajaran kebenaran tentang Tuhan?


Dalam Kitab Amsal yang diterangkan di bawah ini, menunjukkan kesamaan dengan keterangan Al-Quran yang menunjukkan bahawa akal budi (kemampuan untuk membezakan mana yang benar dan mana yang salah) adalah sumber kehidupan bagi manusia yang mahu mempergunakannya.


Amsal 16:22 :

Akal budi adalah sumber kehidupan bagi yang mempunyainya, tetapi seksaan bagi orang bodoh ialah kebodohannya.


Di samping itu, kitab di bawah ini juga menjelaskan bahawa isi (hukum) Taurat, yang menjadi dasar ajaran Nabi Yesus (Isa as), iaitu, "Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu," yang mana hal ini menjadi hukum pertama dalam ajaran Nabi Yesus (Isa as).


Hal ini benar-benar menunjukkan kepada kita bahawa Nabi Musa, Nabi Yesus (Isa) dan Nabi Muhammad mengajarkan kepada segenap manusia untuk menggunakan akal mereka dalam memahami ajaran Tuhan.


Ini termasuklah sama ada berkaitan dengan moral atau mengatur perilaku manusia secara peribadi dan juga secara sosial (hubungan antara sesama manusia), mahupun berkaitan dengan hukum-hukum-Nya.


Selain itu juga diterangkan mengenai penggunaan hati (perasaan), jiwa (perasaan yang dalam; Ruh; energy) yang terletak dalam qalbu (otak) manusia untuk digunakan sebagai media untuk mengasihi Tuhan, di mana hal ini juga berlaku dalam hal mengasihi manusia seperti mana mengasihi diri sendiri.


Ini bererti, menggunakan qalbu dalam melaksanakan hukum-hukum Tuhan ialah sebuah kemestian bagi manusia jika manusia tersebut mahu kembali kepada-Nya.

Mari kita perhatikan firman Tuhan di bawah ini


Matius 22:36-40 :

(36) “Guru, hukum manakah yang terutama dalam hukum Taurat?” (37) Jawab Yesus kepadanya: “Kasihilah Tuhan, Allahmu, dengan segenap hatimu dan dengan segenap jiwamu dan dengan segenap akal budimu.


(38) Itulah hukum yang terutama dan yang pertama. (39) Dan hukum yang kedua, yang sama dengan itu, ialah: Kasihilah sesamamu manusia seperti dirimu sendiri.(40) Pada kedua hukum inilah tergantung seluruh hukum Taurat dan Kitab para Nabi.”


Dalam ayat 40 Kitab Matius ini, terdapat keterangan bahawa kedua-dua hukum tersebut ialah isi dari seluruh hukum Taurat dan Kitab para Nabi yang bererti, semua Kitab para Nabi mengandungi tentang dua perkara tersebut.


Maka hal ini sangat jelas membuktikan kepada kita bahawa semua Kitab para Nabi adalah sama iaitu memiliki ajaran yang sama yang bersumber dari Tuhan Semesta Alam.


Lalu pertanyaannya bagi kita sekarang, adakah penggunaan akal berperanan dalam kehidupan umat beragama saat ini?


Sudah tentu bagi kita yang mahu untuk menggunakan akal fikiran kita, kita pasti memahami dengan baik keadaan saat ini iaitu akal tidak dipergunakan untuk memahami ayat-ayat Allah, baik dalam memahami Al-Quran mahupun Al-Kitab.


Ini terjadi disebabkan adanya pemahaman yang berakar umbi dalam kehidupan umat beragama bahawa keyakinan kepada Tuhan hanya perlu diimani kerana mereka tidak mampu memahami perumpamaan-perumpamaan yang terdapat dalam Kitab Suci.


Sebenarnya, perkara inilah yang telah menjadi jurang pemisah antara penggunaan akal dan ajaran-ajaran Tuhan, sehingga manusia yang meyakini bahawa ajaran nenek moyangnya paling benar, tidak dapat mencari jalan untuk menghubungkan antara penggunaan akal dengan ajaran-ajaran Tuhan.


Sebenarnya, keadaan ini ialah sesuatu hal yang sangat wajar kerana pada dasarnya manusia takut untuk keluar daripada dogma yang selama ini menjadi penjara bagi akal fikiran mereka.


Hal itulah yang mengakibatkan manusia tetap mempertahankan keyakinan daripada nenek moyangnya sampai saat ini.


Mengapakah manusia takut untuk keluar daripada dogma yang mengurungnya?


Ini kerana manusia takut untuk menghadapi risiko-risiko yang ada jika mereka keluar daripada keyakinan yang membelenggu mereka. Padahal hakikatnya, semua manusia pada dasarnya menolak segala sesuatu yang tidak rasional atau bertentangan dengan akal.


Ini kerana semua manusia diberikan akal fikiran oleh Tuhan sehingga dengan akal fikiran ini manusia dapat menilai sesuatu, sama ada pengetahuan yang diperoleh oleh mereka itu benar atau sebaliknya.


Lalu persoalannya sekarang ialah, mengapa ketakutan tersebut dapat dengan mudah menjadi alasan bagi manusia untuk menolak untuk mengabdi (beribadah) kepada Tuhan dengan cara yang benar?

Ini disebabkan manusia memiliki nafs sehinggakan apabila hal-hal yang berkaitan tentang kecintaan yang mengelilingi kehidupan mereka terancam, maka manusia lebih memilih untuk menolak kebenaran. Padahal akal sihat dalam dirinya menentang hal tersebut.


Rasa takut sebenarnya bukanlah sesuatu yang buruk kerana rasa takut juga merupakan ciptaan Tuhan. Lalu, apakah fungsi ketakutan yang sebenarnya?


Rasa takut ini diciptakan oleh Tuhan agar manusia takut terhadap azab-Nya, di mana azab dari Tuhan ialah sesuatu yang pasti terjadi dan tidak dapat dihalang kedatangannya bagi orang-orang yang menolak kebenaran-Nya.


Oleh itu, wajarkah kita merasa takut untuk keluar daripada dogma yang selama ini membelenggu kita untuk kembali kepada ajaran-Nya yang hanif (lurus) agar kita tidak terkena azab dari-Nya.


Walaupun dalam hal ini, azab tersebut ialah sesuatu yang ghaib (belum terbukti tapi diyakini), tapi ia menjadi dasar keimanan kita kepada-Nya kerana manusia ialah makhluk ciptaan-Nya yang tidak dapat melepaskan diri daripada kawalan-Nya.


Sehinggakan, apabila manusia berbuat dosa walaupun sebiji zarah (atom) sekalipun, dosa tersebut tetap dikira oleh Tuhan dengan memberikan sesuatu yang nilainya sama dengan dosa (kesalahan) yang manusia lakukan.


Sebenarnya, Tuhan memiliki sifat Maha Pencemburu. Hal inilah yang tidak diketahui oleh kita, di mana sebahagian besar daripada kita menganggap bahawa Tuhan Maha Pemaaf. Hanya cukup dengan menyembah-Nya, Tuhan sudah menghapus dosa atau kesalahan kita.


Padahal, dalam Al-Quran sendiri menyatakan bahawa Tuhan sangat membenci perbuatan musyrik atau mengambil ilah-ilah lain selain Dia sehinggakan hal tersebut ialah perbuatan yang tidak diampuni oleh-Nya.


Dalam hal ini sudah jelas menunjukkan kepada kita bahawa Tuhan itu Maha Pencemburu. Ini bererti, Dia boleh saja meninggalkan kita, jika Dia melihat kita sudah tidak setia kepada-Nya walaupun nilainya sekecil zarah (atom) sekalipun.


Persoalannya sekarang, bagaimanakah kita dapat mengabdi kepada Tuhan agar kita tidak termasuk ke dalam golongan yang mendapat azab atau takdir buruk dari-Nya?


Satu-satunya jalan hanyalah dengan menggunakan akal sihat kita untuk mendapatkan berkat (keberuntungan ; rahmat) daripada-Nya. Menjadi persoalan lagi, bagaimanakah pula jika kita tidak mahu mempergunakan akal kita?


Tentu saja, Dia akan memasukkan kita ke dalam neraka yang merupakan suatu keadaan yang menyebabkan kita tidak pernah merasa tenang dan selalu ada masalah yang mengganggu kehidupan kita membuatkan kita merasa semakin berat untuk mengabdi kepada-Nya.


Yang terakhir daripada penjelasan yang dihuraikan di atas, ditekankan lagi bahawa sangat penting menggunakan akal untuk memahami Kitab Suci kerana tanpa akal, nilai manusia sama dengan binatang bahkan lebih rendah daripada binatang.


Oleh itu, manusia seharusnya selalu berusaha dalam memaksimumkan otaknya untuk digunakan sebagai alat dalam mempelajari, memahami dan mendalami Kitab Suci supaya manusia tersebut menjadi hamba Allah yang benar, bukan sebaliknya menjadi tandingan bagi Tuhan dengan tidak mensyukuri nikmat yang diberikan oleh-Nya.

0 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page