top of page
Search

SEJARAH DUNIA ZAMAN SEBELUM MASIHI


Dalam peradaban manusia, kita tidak dapat dipisahkan dengan sejarah kerana sejarahlah yang membentuk karakter kita. Apabila kita tidak mengetahui sejarah para Nabi dan Rasul yang mengajarkan tentang bagaimanakah caranya untuk mengabdi kepada Tuhan dan memperkenalkan ajaran Tuhan kepada kita, dapatkah kita disebut sebagai orang-orang beriman?


Apakah kita benar-benar beriman kepada Allah mahupun kepada para Nabi dan Rasulnya dalam memahami konsep kebenaran yang dibawa oleh para Nabi dan Rasul tersebut? Itulah yang harus kita renungkan.


Sebagai umat beragama saat ini, kita ialah penganut kepercayaan daripada ajaran para Nabi dan Rasul.

Persoalannya, adakah kita mengetahui sejarah mereka? Seandainya keimanan kita kepada mereka sekadar meyakini bahawa mereka ialah seorang Nabi dan Rasul tapi kita tidak mengetahui apa yang sebenarnya diperjuangkan oleh mereka, maka layakkah kita disebut sebagai pengikut Rasul?


Kita juga perlu faham karakter bagi para Nabi dan Rasul iaitu mereka berjalan di jalan kebenaran tanpa sedikit pun memikirkan tentang pemikiran manusia. Apa yang menjadi kepedulian mereka hanyalah memenuhi kehendak dan perintah Tuhan.


Mereka tidak memerlukan pujian daripada manusia kerana keinginan untuk dipuji, dihargai, disanjung dan seumpamanya ialah sesuatu yang sia-sia di mata Tuhan. Ini kerana segala pujian hanya diperuntukkan kepada Tuhan Semesta Alam.


Daripada sejarah para Nabi dan Rasul, kita mengetahui bahawa dalam peradaban manusia, ada peradaban yang haq (benar) dan ada peradaban yang batil (salah). Sehinggakan dengan mempelajari sejarah, kita tahu dan faham apa yang seharusnya menjadi pilihan hidup kita.


Adakah kita ingin berjalan di jalan Tuhan dengan memperjuangkan sistem hidup yang benar iaitu melaksanakan hukum Tuhan atau kita pasrah dengan keadaan yang ada sekarang ini dengan mengambil hukum selain hukum Tuhan lalu digunakan dalam kehidupan kita?


Mari kita pelajari sejarah para Nabi dan Rasul yang hadir di tengah-tengah manusia sebelum zaman Masihi, bermula dengan sejarah Nabi Adam sehingga Nabi Musa.


Sejarah Nabi Adam

Umat Islam mahupun umat Yahudi dan umat Nasrani, pasti mengenal dengan Rasul yang namanya Nabi Adam. Pemahaman umat beragama saat ini mengatakan bahawa Nabi Adam ialah manusia pertama. Adakah pemahaman seperti itu benar?


Faktanya, di dalam Al-Quran tidak pernah mengatakan bahawa Nabi Adam ialah sebagai manusia pertama melainkan sebagai Khalifah yang memimpin dalam sebuah Khilafah (QS 2:30). Jadi, soal siapa menjadi manusia pertama, tidak perlu menjadi perbincangan dalam memahami sejarah Nabi Adam.


Namun begitu, dalam Al-Kitab memang ada diterangkan tentang bagaimana Tuhan menjadikan manusia menurut 'gambar dan rupa-Nya' setelah Dia menciptakan langit dan bumi berserta isinya untuk menyempurnakan ciptaannya (Kej. 1:26-28).


Dalam hal ini, peristiwa tersebut ialah bentuk perumpamaan tentang kebangkitan Khilafah atau pembentukan Khilafah iaitu proses di mana Tuhan menciptakan manusia yang mempunyai karakter seperti-Nya atau memiliki sifat Asmaul Husna dalam dirinya.


Dalam Al-Kitab disebut 'menurut gambar dan rupa-Nya' kerana dalam semua ciptaan Allah, manusia diciptakan paling akhir setelah semua ciptaan-Nya yang lain telah diciptakan.


Langit yang letaknya di atas adalah gambaran kekuasaan Tuhan yang ada di bumi, yang kekuasaannya merangkumi seluruh bumi termasuk segala isi bumi dan manusia itu sendiri. Sedangkan bumi yang letaknya di bawah ialah masyarakat yang dipimpin oleh Kekuasaan Allah atau Khilafah itu sendiri (QS. 3:190)


Mengikut sejarah Nabi Adam, dalam Al-Kitab diceritakan bahawa Nabi Adam tinggal di syurga atau Taman Eden. Itu ialah gambaran kehidupan di bumi seperti halnya di syurga. Kerajaan seperti di syurga hadir di tengah-tengah manusia atau di bumi bermaksud Nabi Adam dan Hawa sedang berada dalam keadaan menang. Khilafah sudah berjaya ditegakkan dalam kepemimpinan Nabi Adam.


Namun, Nabi Adam ‘tergelincir’ yang bermaksud sudah mengangkat hukum selain hukum Tuhan dalam Khilafah yang dipimpinnya akibat tipu daya Iblis. Iblis atau setan ialah gambaran bagi apa dan siapa saja yang menjauhkan manusia daripada kebenaran.


Tuhan kemudian mengampuninya kerana dia tulus bertaubat kepada-Nya (QS.2:37) dan memberikan kembali kekuasaan-Nya kepada Nabi Adam dengan menerima pemberian korban atau sebuah bentuk pengabdian dari anak Nabi Adam iaitu Habel (Habil) (QS.5:27).


Namun anak Nabi Adam tersebut dibunuh oleh saudaranya, Kain (Qabil) disebabkan dia ingin ‘berkuasa atasnya’ dalam hal kekuasaan yang diberikan Nabi Adam dan ingin berkuasa atas saudaranya (Kej.4:3-8).


Masalah kecemburuan akibat kekuasaan sebenarnya ialah kejadian yang berulang. Antaranya ialah ketika Nabi Yakub dipilih oleh Nabi Ishak sebagai penerusnya. Atau dengan kata lain, hak ‘kesulungan’ diberikan kepada Nabi Ishak membuatkan Esau iaitu bapa bagi Bani Edom yang juga selaku saudara Nabi Yakub merasa cemburu dengan hal tersebut. Hatinya panas dan marah disebabkan kekuasaan yang diberikan oleh Nabi Ishak kepada Nabi Yakub (Kej.27:42-45).


Akhirnya, Tuhan pun memberikan Nabi Adam anak lain selain Habel (Habil) yang bernama Set. Set digambarkan seperti ‘gambar dan rupa Tuhan’ iaitu mempunyai karakter seperti-Nya atau memiliki sifat Asmaul Husna dalam dirinya.


Pada saat itu, barulah manusia mulai memanggil nama Tuhan (ajaran Tuhan) (Kej.4:25-26). Daripada keturunan Setlah kemudiannya, lahirnya Nabi Nuh (Kej.5:29).


Demikianlah sejarah yang dapat digambarkan secara singkat dalam kaca mata Khilafah atau Kekuasaan Allah yang diberikan Tuhan kepada Nabi Adam. Dalam hal ini membuktikan bahawa sejarah Nabi Adam seperti yang diceritakan dalam Kitab Suci ialah sebagai seorang Khalifah, bukan sebagai manusia pertama.


Sejarah Nabi Nuh

Bersambung daripada sejarah Nabi Adam, Nabi Nuh ialah keturunan Nabi Adam. Nabi Nuh ialah tokoh yang memperjuangkan berdirinya Khilafah di bumi. Dengan keterangan dalam surah Al-Quran Yunus (10) ayat 73 membuktikan bahawa Nabi Nuh berjaya membawa pengikutnya menjadi Khalifah (pengganti; pemimpin).


Perjuangannya dilakukan melalui proses berdakwah, baik secara sembunyi-sembunyi mahupun secara terang-terangan (QS. 71:8-9). Barulah kemudiannya azab Tuhan turun kepada kaumnya mahupun orang-orang kafir yang hidup di muka bumi seperti yang disebut dalam Al-Quran (QS.71:26-27).


Tetapi sebelum itu, dia berhasil keluar dan selamat daripada azab tersebut dan berjaya mendirikan sebuah Mezbah untuk Tuhan. Dalam hal kekuasaan yang diberikan Tuhan kepada Nabi Nuh, di dalam Al-Kitab dicatatkan selama 601 tahun.


Dia berjuang sebelum air bah datang dan dia pun mendirikan Mezbah bagi Tuhan (Kej.8:13-20). Selama 350 tahun dia masih bersama-sama pengikutnya dan dalam lebih kurang 950 tahun, Nabi Nuh hidup bersama-sama dengan mereka (Kej.9:28-29).


Memang kedengarannya tidak masuk akal apabila dikatakan Nabi Nuh hidup bersama-sama dengan pengikutnya selama 950 tahun (QS.29:14). Hal ini ialah berkenaan dengan umur umat.


Dalam hal ini, pergantian peradaban yang digambarkan dengan pergantian siang dan malam iaitu pergantian peradaban yang haq (siang) dan pergantian peradaban batil (malam) yang lamanya satu hari dijelaskan Tuhan dalam Al-Quran selama 1000 tahun menurut perhitungan manusia (QS.22:47).


Maksudnya umur 950 tahun tersebut menggambarkan umur umat Nabi Nuh. Daripada keterangan Al-Kitab, diperlukan 601 tahun sebelum umat Nabi Nuh diselamatkan (Kej.8:13).


Jika kita merujuk pada umur manusia biasa atau umur Rasul itu sendiri, maka kita pun akan menjadi kagum dengan umur Nabi Nuh yang melebihi umur manusia yang kebiasaannya iaitu lebih kurang 120 tahun (Kej.6:3).


Yang sebenarnya, umur ini berkaitan dengan sistem atau ajaran yang dibawa oleh Nabi Nuh. Nabi Nuh secara jasad boleh saja pergi meninggalkan umatnya tapi ajarannya akan terus hidup di tengah-tengah umatnya selama mana umatnya mahu mendengarkan dan setia pada ajarannya.


Dalam perjalanan kerasulannya, Nabi Nuh tidak berjaya menyelamatkan anaknya tapi di sisi yang lain kedua-dua orang tuanya berjaya diselamatkannya dari azab Allah (QS. 71:28).


Namun ada hal yang harus kita luruskan dalam pemahaman kita. Nabi Nuh bukanlah membina kapal secara fizikal kerana kapal dan haiwan-haiwan yang dimaksudkan itu ialah satu bentuk perumpamaan dalam bahasa Al-Kitab yang mengandungi hikmah di dalamnya.


Kapal Nabi Nuh ialah bentuk sarana atau wadah atau tempat di mana Nabi Nuh membentuk, membina dan mengawal umatnya agar menjadi ‘gambar dan rupa-Nya’ sehingga setelah umatnya tersebut ‘dicelup’ oleh ajaran Allah (sibgah Allah) (QS.2:138), maka mereka pun layak dan sesuai memimpin dalam Khilafah atau Kerajaan Allah (QS.7:64).


Sedangkan haiwan-haiwan yang dibawa oleh Nabi Nuh ialah gambaran tentang umat Nabi Nuh yang terdiri dari pelbagai karakter mahupun suku. Baik dalam Al-Quran mahupun Al-Kitab, istilah haiwan ternak, domba dan lain-lain sangat sering ditemui bagi menggambarkan umat itu sendiri (QS.11:40 & QS.3:14).


Dalam hal ini, Nabi Nuh ialah nakhoda atau imam bagi pengikutnya dan pengikutnya ialah awak atau kru kapal yang berperanan sebagai orang-orang yang tunduk dan patuh kepada sang nakhoda atau imam mereka iaitu Nabi Nuh.


Pada akhirnya kapal tersebut akan membawa mereka ke destinasi mereka dalam rangka memperjuangkan hukum Tuhan agar berlaku di kalangan manusia. Dengan dijadikan mereka sebagai Khalifah yang memimpin Khilafah, maka sudah jelaslah sejarah Nabi Nuh berkaitan dengan Khilafah atau Kerajaan Allah yang hadir di tengah-tengah manusia.


Sejarah Nabi Ibrahim

Selanjutnya sejarah Nabi Ibrahim (Abraham) yang merupakan pokok anggur Allah seperti yang disebut dalam Al-Kitab (Yoh.15:1-8). Ini ialah satu bentuk simbol yang menunjukkan bahawa ajarannya menjadi sumber atau pokok bagi ajaran ketiga-tiga keturunannya, baik Nabi Musa, Nabi Isa mahupun Nabi Muhammad.


Nabi Ibrahim adalah keturunan Nabi Nuh dari garis keturunan Sem dan dia lahir dari bapanya bernama Terah seperti yang diterangkan dalam Al-Kitab (Kej.11:1-26). Sedangkan dalam Al-Quran bapanya disebut sebagai Azar. Yang jelas, nama bukanlah satu masalah melainkan pelajaran yang dapat diambil daripada sejarah Nabi Ibrahim.


Bapanya ialah seorang pembuat patung atau gambaran bagi orang yang menggubal undang-undang (QS. 6:74). Ini bermaksud bahawa bapanya ialah seseorang yang duduk dalam pemerintahan di masa Nabi Ibrahim hidup.


Dakwah Nabi Ibrahim ditentang keras oleh bapanya sendiri. Walaupun begitu dia tetap mendoakan bapanya tapi hal tersebut merupakan satu bentuk kesalahan di mata Tuhan sehingga dia diingatkan oleh Tuhan mengenai hal itu (QS.9:114).


Selanjutnya, akibat banyaknya penolakan daripada proses dakwahnya, dia pun meninggalkan negerinya iaitu Ur Kasdim (Kej.11:31), menuju tempat yang dijanjikan Tuhan kepadanya iaitu Tanah Kanaan (Kej.17:8). Kaumnya yang disebut dalam Al-Quran sebagai kaum Ibrahim ialah kaum yang termasuk dalam kaum yang di azab oleh Allah (QS. 9:70).


Dalam perjalanannya, dia singgah di negeri Mesir dan di sana dia mendapatkan Siti Hajar (Hagar) yang kemudiannya menjadi isteri keduanya yang melahirkan Nabi Ismail (Kej.16:11). Dalam perjalanannya ketika dia sudah tua, dia juga memperoleh anak daripada isteri pertamanya iaitu Siti Sarah atau Sara (Sarai).


Itulah anak kedua baginya yang diberi nama Ishak (Kej.17:19) yang merupakan bapa bagi Nabi Yakub. Nabi Yakub pula merupakan bapa bagi Bani Israel yang terdiri dari 12 Bani (12 suku). Nabi Ishak lahir setelah Nabi Ismail. Dalam sejarah, Nabi Ismail berhasil mendirikan Baitullah atau rumah Allah di tanah Arab bersama-sama dengan Nabi Ibrahim (QS.2:127).


Dipendekkan cerita, daripada keturunan-keturunannya inilah Tuhan berjanji untuk memberikan Kekuasaan-Nya atau Kerajaan-Nya atau Khilafah. Kita dapat lihat buktinya saat ini di mana Nabi Musa, Nabi Isa (Yesus) dan Nabi Muhammad berhasil membawa ajaran mereka ke seluruh dunia, mengkhabarkan tentang ajaran yang dibawa oleh mereka.


Sejarah Nabi Musa

Nabi Musa ialah keturunan dari Bani Israel. Dia lahir daripada garis keturunan Bani Lewi yang dalam Al-Kitab menceritakan tentang karakter dari Bani ini iaitu bertindak dengan alat kekerasan (Kej.49:5).


Kisah Nabi Musa dimulai daripada sejarah Nabi Yakub. Nabi Yakub memperanakkan kedua belas bapa leluhur dari Bani Israel. Disebabkan iri hati, bapa-bapa leluhur ini menjual Nabi Yusuf, anak yang diberikan kekuasaan oleh Tuhan setelah Nabi Yakub ke tanah Mesir.


Tetapi Allah bersama-sama dengannya dan melepaskannya dari segala penindasan serta menganugerahkan kepadanya kasih kurnia dan hikmah ketika dia menghadap Firaun, Raja Mesir. Firaun menjadikan Nabi Yusuf berkuasa ke atas tanah Mesir dan atas seluruh istananya (menjadi Bendahari di Mesir).


Maka datanglah bahaya kelaparan menimpa seluruh tanah Mesir dan tanah Kanaan serta penderitaan yang besar sehingga nenek moyang Bani Israel tidak mendapat makanan. Apabila Nabi Yakub mendengar bahawa di tanah Mesir ada gandum, dia menyuruh nenek moyang Bani Israel ke sana.


Itulah kunjungan mereka yang pertama dan pada kunjungan mereka yang kedua Nabi Yusuf memperkenalkan dirinya kepada saudara-saudaranya. Firaun pun mengetahui asal usul Nabi Yusuf.


Kemudian Nabi Yusuf menjemput Nabi Yakub, ayahnya dan semua sanak saudaranya ke tanah Mesir. Dan di tanah Mesirlah dia dan nenek moyang Bani Israel meninggal. Inilah permulaan cerita Bani Israel berada di tanah Mesir (Kisah Para Rasul 7:1-17).


Dalam sejarah, Nabi Musa diceritakan telah diambil oleh puteri Firaun dan dijadikan seperti anaknya sendiri. Dalam perjalanan kenabiannya, dia membunuh penduduk asli Mesir kerana hendak mempertahankan Bani Israel. Akibat dari perbuatannya itu, dia menjadi pelarian dan tinggal di Tanah Midian.


Dia berkahwin dengan anak Nabi Yitro (Nabi Syuaib) yang menjadi imam Midian yang berasal dari Bani Ketura. Nabi Musa dikurniakan dua orang anak dari isterinya itu (Keluaran 2:11-22). Kemudian, barulah dia mendapat wahyu bahawa dirinya ialah seseorang yang dipilih oleh Tuhan sebagai Rasul dan dia pun pergi ke Mesir untuk membebaskan Bani Israel (Keluaran 3:1-22).


Dimulakan dengan proses dakwah secara sembunyi-sembunyi yang bertujuan mengumpulkan umat Bani Israel agar keluar daripada perbudakan di Mesir. Kemudiannya dia berdakwah secara terang-terangan kepada pegawai atasan di Mesir mahupun kepada penguasa Mesir saat itu iaitu Firaun. Dengan proses dakwah yang telah dilakukannya, dia pun berhasil mengeluarkan Bani Israel dari Mesir (Keluaran 18:1-12).


Sebelum hal itu terjadi, dia menunjukkan tanda-tanda kebesaran Allah dalam bentuk ajaran Tuhan Semesta Alam kepada Firaun tetapi Firaun menolak keras ajakan Nabi Musa.


Dia menganggap Nabi Musa hanya berusaha untuk menipu orang dengan tipu muslihatnya kerana terdapat kejadian di mana tukang-tukang sihir Firaun membenarkan apa yang dikatakan oleh Nabi Musa ketika ‘beradu tongkat’ (beradu pemahaman kebenaran).


Tukang-tukang sihir iaitu orang yang pandai menipu tentang kebenaran telah kalah dan menyerah dengan apa yang disampaikan Nabi Musa (QS. 7:123).


Maka, disebabkan banyak tanda yang sudah ditunjukkan oleh Nabi Musa yang dalam Al-Kitab digambarkan sebagai 10 tulah atau azab sebagai bukti bahawa Tuhan tidak berlaku zalim terhadap manusia, barulah Nabi Musa berserta pengikutnya keluar dari negeri Mesir disebabkan Firaun berbaik hati kepada Nabi Musa (Keluaran 12:31).


Setelah keluar dari Negeri Mesir, sebelumnya Nabi Musa dan pengikutnya tinggal di sempadan negeri Mesir. Bani Israel sementara waktu tinggal di sana sebelum berjalan di jalan kering pada lautan (Keluaran 14:16).


Kemudian Tuhan mengeraskan hati Firaun lalu dia pun mengejar Nabi Musa dan pengikutnya (Keluaran 14.8). Saat itulah azab penghabisan menimpa Firaun dan sekutunya. Hal itu terjadi setelah jalan kering di lautan sudah sangat jelas terlihat.


Diceritakan, sebelum Firaun berusaha mengejar Bani Israel, di perbatasan tersebut, pengikut Nabi Musa bersungut-sungut kepada Nabi Musa setelah mereka berjaya keluar dari negeri Mesir. Mereka menyalahkan Nabi Musa atas penderitaan mereka. Jikalau mereka masih berada di Mesir, tentu mereka masih makan kuali yang berisi daging (Keluaran 16:3).


Ini bererti bahawa pengikut Nabi Musa bukanlah menjadi hamba seperti gambaran pemahaman agama saat ini. Maksud diperbudakkan atau menjadi hamba di sini ialah mereka tidak dapat melaksanakan hukum Tuhan dengan bebas.


Bani Israel ialah sebahagian dari kerajaan Mesir. Mereka mempunyai peranan yang penting dalam kemajuan Mesir termasuklah para ahli dalam kerajaan Mesir pada saat kejadian Firaun dan sekutunya mengejar mereka. Bani Israel bersungut-sungut menyesali mengikuti Nabi Musa dan menganggap Nabi Musa hanya membawa mereka kepada kematian mereka (Keluaran 14:11-12).


Kemudian pada akhirnya, mereka berjaya menyeberangi laut. Dalam Al-kitab menyebutnya lautan Teberau dan mereka pun bersiap untuk fasa yang selanjutnya. Mereka menunggu sampai perintah turun kepada Nabi Musa untuk menyerang Yerikho.


Sebelum perintah tersebut turun, pengikut Nabi Musa pernah disesatkan oleh Samiri (QS.20:85) dengan mengambil ajaran lain selain ajaran Tuhan Yang Maha Esa. Digambarkan pengabdian mereka kepada patung berbentuk anak sapi (QS.20:88), yang menggambarkan mereka mengambil ajaran lain selain ajaran Tuhan Semesta Alam.


Pada tahap itu, setelah mereka berjaya melintasi lautan Teberau, kemudian turunlah manna (mann) dan salwa (QS. 2:57), dan juga mengenai hari sabat (Keluaran 16:1-36). Pada waktu itu ada kejadian yang berlaku di padang gurun Sin, tempat persinggahan mereka setelah lautan Teberau dan Elim, yang disebut dengan Masa dan Meriba kerana pada waktu itu Bani Israel mencubai Tuhan (Keluaran 17:1-7).


Mereka meminta air kepada Nabi Musa kerana mereka kehausan. Dan pada tahap itu juga (keluaran), Yitro mendengar khabar gembira bahawa Nabi Musa berjaya keluar dari negeri Mesir dengan membawa keluarga Nabi Musa mengunjunginya. Saat itu dia mengajarkan kepada Musa bagaimana untuk mengelola umat dengan mengangkat imam-imam (Keluaran 18:1-27).


Dalam proses perang yang dilalui oleh mereka, sebahagian besar daripada mereka membangkang. Mereka tetap saja mencubai Tuhan dan hal inilah perkara terakhir yang membuatkan Tuhan sudah tidak mengampuni Bani Israel (Bilangan 14:22-23).


Disebutkan 10 suku menolak untuk menyerang Yerikho dan hanya Yosua dan Kaleb iaitu pemimpin dari dua suku Bani Israel yang mengikuti perintah Nabi Musa tersebut (Bilangan 14:1-38).


Lalu Tuhan menangguhkan kemenangan mereka selama 40 tahun sebagai akibat daripada bangkangan tersebut dan orang-orang yang membangkang tersebut sudah tidak ada lagi ketika Yosua dan Kaleb memenangkan perjuangan mereka (Bilangan 32:13) dalam misi mereka menegakkan Khilafah atau Kerajaan Allah (Yerusalem).


Dan pada akhirnya di tangan Yosua dan Kaleb, tembok Yerikho runtuh (Yosua 6:20) dan Yerusalem pertama berhasil ditegakkan oleh mereka.


Demikianlah gambaran ringkas tentang sejarah Nabi Musa dalam memperjuangkan kemerdekaan bagi Bani Israel yang pada akhirnya mereka mendapat kemenangan dalam pengertian Khilafah atau Kerajaan Allah (Yerusalem).


Dan sehingga era Milenium, ajarannya masih tetap diyakini oleh umat Yahudi yang mengimani Kitab yang bersumber darinya.

3 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page