top of page
Search

MEMAHAMI DINUL ISLAM



Bercakap mengenai agama, kita boleh lihat dalam Al-Quran surah Ali Imran (3) :83 - 85

“Maka apakah mereka mencari din yang lain dari din Allah, padahal kepada-Nya-lah berserah diri segala apa yang di langit dan di bumi, baik dengan suka mahupun terpaksa dan hanya kepada Allahlah mereka dikembalikan.”


Katakanlah: “Kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yakub dan anak-anaknya dan apa yang diberikan kepada Musa, Isa dan para nabi dari Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka dan hanya kepada-Nya-lah kami menyerahkan diri.”


Barang siapa mencari din selain din Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (din itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.


Berbicara persoalan Islam secara universal sering menjadi fokus perbincangan dengan pelbagai macam perdebatan di dalam mana-mana forum atau perbahasan. Mari kita merenung satu perkara asas mengenai Islam itu sendiri, iaitu Islam sebagai DIN Allah.


Apakah DIN Islam itu hanya sekadar agama atau lebih luas daripada agama?

Ada yang mengatakan Islam itu sudah sempurna dan ada juga yang berpendapat berbeza.


Mengapakah hal ini menjadi penting untuk direnungi?

Kerana perspektif yang salah terhadap Din Islam akan berakibat pada sikap seseorang terhadap Islam, baik secara sosial peribadi dan juga dalam hal berbangsa dan bernegara (politik).


Terdapat beberapa pemahaman yang sering didengar dalam masyarakat mengenai Islam. Antaranya ialah :

1. Islam adalah agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, dan menjadi agama terakhir. Sebelum diutusnya Nabi Muhammad, Allah mengutus Rasul-Nya dengan agama yang berbeza.

2. Agama Islam ialah agama terakhir yang paling sempurna dibandingkan dengan agama-agama sebelumnya.


Sebelum kita merenungi tentang Din Islam sebagai suatu agama atau lebih dari sekadar agama, ada baiknya kita renungkan ayat-ayat firman Allah di atas.


Adakah pemahaman tersebut benar atau salah?


Adakah pemahaman tersebut memiliki dasar wahyu (firman Allah) atau hanya sekadar pemahaman assobiyah (fanatisme) yang turun menurun?


PENGERTIAN DINUL ISLAM

Semua Nabi ialah Muslim (Islam). Hasil daripada pemahaman bahawa Din sering ditafsirkan sebagai agama yang dibawa oleh setiap Rasul Allah adalah berbeza, maka umat manusia hidup dalam kotak-kotak keyakinan dalam agama mereka sendiri dan menilai mereka yang mempunyai kepercayaan yang berbeza sebagai sesat.


Setiap generasi saling menutup diri untuk berdialog kerana merasakan bahawa agama mereka berbeza dan tidak dapat disatukan.


Perkataan “Muslim” ialah kata Bahasa Arab yang berupa isim fa’il (keterangan pelaku) daripada kata kerja aslama-yuslimu-islaman - yang bermaksud patuh, tunduk dan pasrah. Jadi, “Muslim” secara Bahasa bermaksud setiap makhluk yang tunduk patuh atau berserah diri kepada Din sistem hukum Allah.


Sehinggakan secara bahasa dan kewahyuan, predikat “Muslim” dapat disematkan kepada siapa saja dan kepada makhluk apa pun yang aslama (tunduk patuh) kepada sistem hukum Allah.

Lalu bagaimana dengan istilah "Din Islam" itu sendiri?


Kata “Din” juga merupakan kata Bahasa Arab yang secara bahasa bermaksud:

1. Kehormatan pemerintah, negara dan kekuasaan

2. Ketundukan, kepatuhan, pengabdian dan penyerahan

3. Memperhitungkan, mengadili, memberi hukuman atas perbuatan-perbuatan.


Jika dikatakan yaumiddin bererti hari perhitungan atau hari pembalasan atas perbuatan seseorang.

Sedangkan secara etimologinya, beberapa ulama mendefinisikan “Din” sebagai peraturan Ilahi yang memimpin orang yang berakal sihat atas kehendak mereka sendiri menuju kebahagiaan dunia dan akhirat.


Demikian pendapat beberapa ulama. Namun jika kita merujuk kepada beberapa ayat Al-Quran, kata "Din" tidak hanya mengatur peraturan untuk manusia, tetapi juga peraturan untuk semua makhluk-Nya.


Jadi dalam pengertian yang luas, "Din" ialah sistem hukum yang diciptakan oleh Allah dalam mengatur hidup dan kehidupan semua makhluk di alam semesta. Adapun kata Islam secara bahasa ialah bentuk kata benda daripada kata “aslama” yang bermaksud ketundukan, kepatuhan dan kepasrahan.


Islam ialah istilah bagi Din Allah yang mengandungi sekumpulan sistem dan aturan hukum yang dijadikan sebagai landasan pengabdian setiap makhluk kepada Allah. Sehingga Din Islam bermaksud sebuah sistem hukum yang mengatur kepatuhan setiap makhluk kepada Allah.


Jika dikhususkan kepada manusia, maka Din Islam ialah sistem kepatuhan dan ketaatan manusia kepada hukum Allah yang diwahyukan kepada setiap Nabi dan Rasul yang diutus-Nya pada setiap bangsa dan zaman yang berbeza-beza sepanjang peradaban manusia sejak dahulu, kini dan masa yang akan datang, yang tidak berubah dan berganti. Lihat Al-Quran surah Ali-Imran (3) :83 – 85


TUJUAN UTAMA DINUL ISLAM

Visi bagi semua utusan Allah (Rasul Allah) ialah tertegaknya Din Al-Haq (Dinul Islam) ciptaan Allah dalam hidup dan kehidupan umat manusia sehingga terciptalah aturan kehidupan yang seimbang, dipenuhi kedamaian dan kesejahteraan bagi semua makhluk di alam semesta ini.


Itulah sebabnya, kehadiran seorang Rasul Allah selalu diyakini sebagai rahmat yang luar biasa dari Sang Pengatur hidup manusia, kerana kedatangannya selalu menjadi juru selamat bagi umat manusia yakni mengembalikan umat manusia pada fitrah dirinya sebagai seorang hamba Allah.


Apabila seseorang melihat Din Islam hanya sebatas agama, maka dia akan melihat keislaman seseorang dari tata ritual yang dilakukannya. Islam hanya dipandang sebagai agama, yakni sistem penyembahan seorang hamba kepada Tuhannya, sebagai bekal kehidupan akhirat, kehidupan setelah dia mati.


Mereka tidak sedar bahawa Allah tidak perlu untuk disembah, tetapi apa yang diminta oleh-Nya agar manusia kembali kepada fitrah-Nya yang sejati, iaitu menjadi hamba Allah yang tunduk patuh hanya kepada kehendak dan perintah-Nya sahaja.


Akar tunjang ajaran Allah (Din Islam) ialah keimanan kepada Allah secara mutlak, iaitu mengabdi kepada Dia satu-satunya, yang mencipta dan yang mengatur kehidupan ini dengan sistem hukum-Nya yang benar (Din Islam).


Hukum Allah ialah hukum yang benar dan hukum yang fitrah bagi seluruh makhluk, khususnya manusia. Pada prinsipnya, hukum Allah ialah satu sistem aturan yang di dalamnya terhimpun seluruh aspek yang mengatur kehidupan manusia, baik hubungan manusia dengan Allah, mahupun hubungan antara sesama manusia dan hubungan manusia dengan alam sekitarnya.


Semua aturan hukum tersebut bertujuan untuk menjaga fitrah manusia, mewujudkan kedamaian dan kebahagiaan dalam hidup dan kehidupan umat manusia di muka bumi, serta menjaga keseimbangan dan keharmonian alam semesta.


Penyimpangan atau pelanggaran manusia terhadap hukum-hukum Allah yang sudah fitrah, pasti akan menimbulkan ketidakadilan dan kekacauan dalam kehidupan yang seterusnya akan menimbulkan kesengsaraan dan malapetaka sosial bagi kehidupan manusia.


AJARAN-AJARAN POKOK DINUL ISLAM

Berbicara tentang ajaran asas mengenai Islam ialah:

Pertama, bercakap mengenai iman (akidah), semua Nabi dan Rasul Allah pada awal misi perjuangan mereka selalu mengajak bangsa mereka untuk kembali kepada kalimat Tauhid, yakni laillahaillallah, bahawa tidak ada Ilah yang layak untuk ditaati kehendak dan perintah-Nya.


Kalimat tauhid inilah yang selalu menjadi akar tunjang bagi akidah setiap orang beriman.

Kesaksian tentang keesaan Allah inilah yang menjadi asas bagi setiap pemikiran, perkataan dan amalan orang-orang yang beriman dalam kehidupan mereka.


Jika akar tauhid ini sudah tercabut daripada kesedaran iman manusia, maka manusia akan kembali kepada kehidupan syirik, iaitu kehidupan yang ber-ilah dan menghambakan diri kepada Tuan selain Allah.


Manusia akan kembali ke dalam kehidupan yang tidak fitrah, kehidupan yang hanya berdasarkan perkara materialistik. Tidak hairan jika manusia boleh berubah menjadi makhluk yang lebih ganas dan lebih jahat daripada binatang.


Kehidupan manusia akan dikuasai oleh nafsu serakah yang selalu berselindung di sebalik topeng politik, undang-undang, sosial, ekonomi dan agama.


Mereka yang berkuasa akan menindas dan menghisap darah rakyatnya. Mereka yang berilmu akan memperdaya mereka yang bodoh, mereka yang kaya akan memperbudak mereka yang miskin dan sebagainya.


Kedua, mengenai pengabdian (ibadah). Apabila seseorang sudah mampu mengenal Allah dengan benar dan telah mengikat perjanjian dengan-Nya dalam satu ikatan iman (aqidah yang kuat), maka barulah seseorang dapat beribadah dengan bersih dan benar kepada-Nya.


Syarat utama untuk dapat beribadah kepada-Nya ialah kebersihan diri dari segala isme atau ideologi yang boleh mencemarkan keimanannya kepada Allah dengan kata lain, tidak syirik.


Ketiga, hukum (Syariah). Hukum Allah ialah sesuatu yang benar dan fitrah sehingga ia tidak pernah berubah hanya disebabkan perubahan tempat dan zaman.


Meskipun Allah mengutus Rasul-Nya ke lokasi dan waktu yang berbeza tetapi sistem aturan hukum yang diajarkan dan diperintahkan oleh-Nya tetap sama, tidak berubah.


Kerana hukum Allah berasal dari yang Maha Benar, maka sifatnya mutlak benar. Maka ia tidak boleh berubah atau tak boleh diubah (dipinda).


TIGA UNSUR POKOK DINUL ISLAM

Yang pertama Rububiyah.

Tuhan sebagai Rabb Alam Semesta dibuktikan dengan berlakunya Rububiyah Allah SWT, iaitu kekuatan-kekuatan yang membentuk dan mengawal kehidupan segenap makhluk-Nya di seluruh alam semesta ini.


Yang kedua Mulkiyah

Tuhan ialah Malik, Penguasa atau Raja bagi setiap gerak kehidupan seluruh makhluk-Nya yang hidup di bawah naungan kekuasaan-Nya di seluruh Alam Semesta sebagai wilayah kerajaan-Nya.


Yang ketiga Uluhiah

Tuhan ialah Ilah. Dialah objek yang diibadatkan atau pusat pengabdian yang menjadi tujuan dalam segenap aktiviti atau amal perbuatan seluruh makhluk-Nya.


Berbicara mengenai tiga unsur pokok dinul Islam dalam kehidupan umat manusia, merealisasikan Tuhan sebagai Pengatur (Rabb) diwujudkan dengan cara menempatkan Rububiyah (Hukum) Allah SWT sebagai sesuatu yang mengawal pemikiran, perkataan dan perbuatan manusia.


Allah sebagai Malik bagi manusia dimanifestasikan dengan cara diutus Rasul sebagai Pembawa Kekuasaan Allah di bumi.


Bentuk nyata kekuasaan Allah yang ditegakkan oleh Rasul ialah Struktur kepemimpinan yang disebut sebagai Mulkiyah atau Daulah. Kedudukan Tuhan sebagai Ilah (Pusat Pengabdian: yang diibadatkan) adalah dalam sasarannya kepada umat yang mempunyai kekuatan hukum syarie sebagai Uluhiyah.


Dengan demikian, Islam yang Hak ialah yang termaktub dalam tiga unsur pokok dinul Islam tersebut iaitu Hukum, Kekuasaan dan Umat.


25 NABI DAN RASUL PEMBAWA AJARAN DINUL ISLAM

Islam ialah nama Din Allah yang mengandungi sekumpulan sistem dan aturan hukum yang dijadikan asas bagi pengabdian setiap makhluk kepada-Nya. Oleh itu, Din Islam bermaksud sistem yang mengatur ketaatan setiap makhluk kepada Allah, RabbAlam Semesta.


Jika dikhususkan kepada manusia, Din Islam ialah sistem kepatuhan dan ketaatan manusia (Muslim) kepada hukum Allah yang diwahyukan kepada setiap Nabi dan Rasul yang diutus-Nya pada setiap bangsa dan zaman yang berbeza-beza sepanjang sejarah peradaban manusia.


Inilah makna Muslim secara luas, bukan satu istilah formal atau identiti sosial yang hanya dikhaskan kepada mereka yang beragama Islam sebagai generasi pengikut Nabi Muhammad. Ini kerana istilah Islam dan Muslim sudah wujud jauh sebelum kenabian Rasulullah Muhammad.


Semua Nabi dan Rasul Allah adalah seorang Muslim yang menjadikan Din Islam sebagai sistem yang mengatur hidup dan kehidupan umat manusia.


Tidak ada Nabi dan Rasul Allah yang tidak ber-Din Islam atau non-Muslim, semuanya ialah Muslim.

Al-Quran misalnya, menyebut Nabi Ibrahim dan anak cucunya dengan sebutan Muslimun (Jamak bagi kata Muslim) yang bermaksud mereka yang tunduk patuh atau berserah diri.


Sila perhatikan penegasan Allah SWT dalam beberapa ayat di bawah ini –

Al-Baqarah (2) ayat 128

“Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada Engkau dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada Engkau dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadah haji kami, dan terimalah taubat kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang.”


Al-Baqarah (2) 131- 133.

“Ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Tunduk patuhlah!” Ibrahim menjawab: “Aku tunduk patuh kepada Tuhan semesta alam.”


“Dan Ibrahim telah mewasiatkan ucapan itu kepada anak-anaknya, demikian pula Yakub. (Ibrahim berkata): “Hai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih din ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali dalam memeluk dinul Islam.”


“Adakah kamu hadir ketika Yakub kedatangan (tanda-tanda) maut, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apa yang kamu abdi sepeninggalku?” Mereka menjawab: “Kami akan mengabdi Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail dan Ishak, (iaitu) Tuhan Yang Maha Esa dan kami hanya tunduk patuh kepada-Nya.”


Al-Haj (22) ayat 78.

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah memilih kamu dan Dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam din suatu kesempitan. (Ikutilah) milah orang tuamu Ibrahim. Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah. Dia ialah Pelindungmu, maka Dialah sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.”


Daripada penjelasan dan penegasan beberapa firman Allah di atas, maka gugurlah fahaman yang mengatakan bahawa ISLAM ADALAH DIN TERAKHIR DAN PALING SEMPURNA YANG DIBAWA OLEH RASULULLAH MUHAMMAD SAW yang berbeza dengan Din para Nabi dan para Rasulullah sebelumnya.


Gugur pula fahaman yang mengatakan bahawa umat Muslim ialah umat yang beriman kepada Nabi Muhammad SAW saja dan selain daripadanya ialah Non-Muslim.


Demikian pula, gugurlah fahaman yang mengatakan bahawa setiap Rasul Allah SWT membawa ajaran yang baharu dan berbeza dengan apa yang dibawa oleh para Rasul Allah SWT sebelumnya, termasuklah fahaman bahawa syariat (Hukum) yang dikerjakan oleh mereka ialah syariat yang berbeza antara satu Rasul dengan lainnya.


Secara prinsip, hukum Allah ialah satu sistem aturan hukum di mana semua aspek yang mengatur kehidupan manusia baik hubungannya dengan Tuhan Semesta Alam mahupun hubungan antara sesama manusia dan hubungannya dengan alam sekitarnya.

0 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page