top of page
Search

APAKAH YANG MENJADI IKUTAN KITA?



Siapakah di antara kita yang berani mengatakan dengan sebenar-benarnya bahawa kita sudah mengenal Allah sejak kita kecil lagi? Sedangkan cara beribadah pun, kita diajarkan oleh kedua orang tua kita.


Walaupun hakikatnya sebagai seorang anak, apa yang diajarkan maka itulah yang akan kita lakukan. Namun, setelah akal fikiran sudah sempurna dengan erti kata lain apabila kita sudah dewasa dan dapat berfikir secara waras, adakah kita pernah mempersoalkan sama ada ajaran yang diajarkan kepada kita itu benar-benar datang daripada Allah? Ini kerana apa yang datangnya dari Dia pasti ada di dalam kitab-kitab-Nya.


Adakah kita pernah mengkaji tentang hal itu atau kita hanya menerima semua ajaran orang tua kita tanpa mempunyai keinginan sedikit pun untuk memikirkan tentang kebenarannya? Apakah kita takut dianggap menderhaka kepada ajaran ibu bapa jika kita memilih untuk memeriksa kebenaran ajaran yang disampaikan oleh mereka? Apakah kita lebih rela menjadi hamba yang menderhaka di mata Allah?


Amat penting untuk kita ketahui sama ada ibadah yang dilakukan ialah ibadah yang benar, bukan atas dasar ikut-ikutan semata-mata kerana apa yang dilakukan dengan pengetahuan yang benar pastilah lebih bermakna daripada hanya melakukannya tanpa pengetahuan yang jelas.


Bahkan, Allah melarang manusia melakukan sesuatu perkara tanpa ada pengetahuan tentang perkara itu kerana pendengaran, penglihatan dan akal fikiran kita akan dipertanggungjawabkan tentang perbuatan kita itu. [QS. Al-Isra' (17):36]


Mari kita fikirkan sejenak tentang perjalanan ajaran Nabi Muhammad S.A.W yang sudah lebih 1400 tahun berlalu. Adakah kita dapat memastikan bahawa ajaran yang ada pada hari ini ialah ajaran yang tulen datangnya daripada ajaran baginda kerana jauhnya jarak perjalanan ajaran itu untuk sampai kepada kita hari ini.


Apakah tidak mungkin terjadinya perubahan dalam rentas masa yang begitu lama? Sudah berapa banyak pertambahan dan pengurangan yang terjadi dalam ajaran yang asalnya murni itu?


Anda pasti saja pernah mendengar perdebatan di sana sini tentang hukum halal, haram, makruh dan sebagainya untuk sesuatu amalan sehinggakan hal itu dibahaskan dengan hebat dalam ceramah-ceramah mahupun di media sosial.


Apa yang dapat diperhatikan, dalam perbahasan atau perdebatan itu terjadilah tuduh menuduh dan saling menyalahkan, malah saling menyesatkan antara satu sama lain. Hal ini ialah sesuatu yang seharusnya tidak terjadi sekiranya kita merujuk kepada sumber ilmu dari Allah iaitu kitab-kitab-Nya.


Harus difahami, ketika Islam disebarkan di Nusantara, pelbagai ajaran dan fahaman telah melekat padanya. Apatah lagi penyebaran Islam turut melalui pendekatan budaya setempat. Sudah tentu penyebarannya disesuaikan mengikut budaya dan tempat penyebarannya.


Maka ajaran yang asalnya murni dari Tuhan, sudah sedikit sebanyak bercampur dengan ajaran yang ‘tidak suci’ lagi dengan terjadinya pengurangan dan pertambahan mengikut kesesuaian budaya setempat yang akhirnya hal itu dianggap sebagai ajaran asal dari Allah.


Mari kita lihat kembali sejarah awal Nabi Muhammad S.A.W dalam membawa misi risalah Allah. Setiap Rasul yang diutus kepada setiap umat, termasuklah Nabi Muhammad hanya menyeru agar manusia beribadah kepada Allah saja dan menjauhi taghut. Di antara umat manusia itu, ada yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula di antara mereka yang disesatkan oleh-Nya.


Kisah umat yang mendustakan Rasul-rasul iaitu mereka yang disesatkan oleh Tuhan ini ada tanda-tanda peninggalannya di muka bumi ini. Allah mengesyorkan kepada kita agar berjalan di muka bumi dengan matlamat untuk melihat tanda-tanda azab yang ditimpakan kepada kaum yang sesat ini. Tujuannya agar kita dapat mengambil pelajaran daripada kisah-kisah mereka itu.(16:36)


Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah Muhammad dalam usaha dakwahnya? Baginda menyeru masyarakat musyrik Mekah dan sekitarnya agar meninggalkan agama dan tradisi nenek moyang mereka.

Prinsip dakwah yang dibawa oleh baginda ialah untuk membezakan mana ajaran yang haq (benar) dan mana yang batil (salah) dengan mengukur kebenaran ajaran tersebut melalui wahyu-wahyu Allah.


Menjadi fitrah bagi minyak untuk tidak bercampur dengan air. Begitu jugalah dalam hal kebenaran dan kebatilan. Kedua-duanya tidak boleh bercampur seperti mana ajaran tradisi dan fahaman nenek moyang yang tidak jelas dasar ilmunya. Ianya tidak boleh dicampurkan dengan kebenaran dari Allah yang sudah tentu ada dasar ilmunya di dalam kitab-kitab Allah.


Namun begitu, ketika Rasulullah Muhammad berdakwah kepada bangsanya, mereka lebih memilih untuk mengikuti ajaran nenek moyang mereka. Apabila Rasulullah Muhammad menyeru agar mereka mengikuti apa yang diturunkan oleh Allah iaitu mengikuti wahyu-wahyu Allah, mereka menolak. Sebaliknya mereka menyatakan bahawa mereka hanya mengikuti ajaran yang telah diturunkan oleh nenek moyang mereka.


Apa yang menjadi persoalannya, adakah mereka masih mahu mengikuti ajaran nenek moyang mereka itu yang sudah pasti tidak mengetahui sesuatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk dari Allah? Sedangkan apa yang dibawa oleh Rasulullah Muhammad itu sudah jelas datangnya dari Allah. [QS. Al-Baqarah (2):170]


Hal tersebut ialah apa yang berlaku ketika Rasulullah Muhammad menyampaikan ajaran Allah. Persoalannya untuk kita hari ini ialah, apakah kita juga akan mengatakan hal yang sama ketika datangnya seruan dari Allah?


Apakah kita juga akan mengatakan bahawa kita hanya akan mengikuti apa yang telah ibu bapa kita ajarkan kepada kita atau cukup sekadar mengikuti apa yang dilakukan kebanyakan orang di sekeliling kita daripada mengikuti apa yang sebenarnya diperintahkan oleh Allah yang tertulis dalam Al-Quran?


Di sinilah perlunya kita menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Sebagai makhluk yang dikurniakan akal, kita diperintahkan Allah untuk selalu merenungi dan mengkaji ayat-ayat-Nya (kauniyah dan qauliyah).


Al-Quran merupakan ilmu Allah yang tertulis dan bersifat ilmiah. Tidak ada ayat di dalam Al-Quran yang tidak dapat dicerna oleh akal manusia. Semuanya tidak bertentangan dengan akal rasional manusia.


Sangat tidak wajar jika Allah menurunkan sesuatu yang bersifat petunjuk tetapi tidak dapat difahami oleh akal rasional manusia.


Akal fikiran adalah sarana utama yang perlu difungsikan sepenuhnya untuk memperoleh kebenaran yang sesungguhnya. Barulah kita dapat mengimani Allah dan Rasul-Nya dengan cara yang benar, dengan ilmu yang sebenarnya dan bukan lagi ikut-ikutan semata-mata.


Jika diperhatikan, dalam banyak hal manusia lebih cenderung untuk mengikuti pendapat majoriti. Allah memberi amaran bahawa jika kita menuruti kebanyakan orang di muka bumi ini, nescaya (tidak boleh tidak; sudah tentu) kita akan disesatkan oleh kebanyakan orang itu dari jalan Allah.


Hal itu terjadi kerana kebanyakan manusia tidak merujuk kepada sumber yang benar iaitu kitab-kitab Allah, sebaliknya lebih cenderung untuk mengikuti persangkaan sendiri semata-mata. Ketahuilah apabila kita mengatakan sesuatu itu datang dari Allah walhal itu bukan dari Allah, maka kitalah orang yang berdusta [QS. Al-Anaam (6):116]


Jadi, apakah yang perlu menjadi ikutan kita? Sudah tentu, sebagai manusia yang mengaku sebagai hamba Allah, maka wajib (tidak boleh tidak; mesti; perlu) mengikuti apa yang telah diwahyukan oleh Allah.


Mengapakah kita hanya perlu mengikuti apa yang diwahyukan oleh Allah? Kerana tidak ada Tuhan selain Dia. Sekiranya kita masih mengikuti yang selain daripada apa yang diwahyukan-Nya, bererti kita masih memiliki Tuhan selain Dia walaupun secara lafaz kita mengatakan bahawa Dialah satu-satunya Tuhan kita.


Bagaimanakah caranya untuk memastikan bahawa kita hanya mengikuti apa yang diturunkan oleh Tuhan?


Caranya ialah kita perlu berpaling daripada orang-orang musyrik. Bererti kita tidak mengikuti ajaran-ajaran mereka sebaliknya hanya mengikuti ajaran yang datangnya dari Allah yang sudah pastilah ada di dalam kitab-kitab-Nya (Taurat, Injil dan Al-Quran) [QS. Al-Anaam (6):106]

4 views0 comments

Recent Posts

See All
bottom of page